Popular Posts

20 Nov 2012

Musuh mahu lahirkan generasi Islam baru yang tidak betul

KOTA TINGGI – Ahli Jawatankuasa Pusat ISMA, Ustaz Mohd Hazizi Abdul Rahman menyifatkan bahawa musuh Islam mahu melahirkan generasi baru Islam yang membawa kefahaman Islam yang baru, bukan seperti Islam yang difahami oleh generasi salafussoleh.
“Mereka mahukan generasi baru Islam membawa kefahaman Islam baru yang disesuaikan dengan dunia pada hari ini, bukannya Islam yang difahami oleh dunia Islam pada zaman khalifah dahulu.”
Katanya lagi, ini menyebabkan lahirnya golongan moderat muslim yang digunapakai oleh barat supaya Islam yang dibawa oleh generasi baru ini tidak bertentangan dengan ideologi yang ingin dibawa oleh barat.
“Akhirnya lahirlah golongan moderat muslim yang digunapakai oleh barat supaya Islam yang dibawa oleh golongan moderat muslim ini tidak bertentangan dengan ideologi yang ingin dibawa oleh barat.
“Mereka merampas istilah moderat muslim daripada orang Islam dan mereka maksudkan moderat itu adalah selari dengan hak asasi manusia sejagat,” jelas Ustaz Hazizi.
Oleh itu, tegasnya, kesatuan majoriti perlu diusahakan supaya menjadi satu arus untuk melahirkan kepimpinan Islam yang kuat kerana golongan liberal adalah satu aliran yang pelik dan merupakan golongan bukan majoriti.
Beliau berkata demikian dalam ceramah yang disampaikan sempena Program Perkhemahan Pimpinan ISMA Zon Selatan di Batu Layar Beach Resort di sini baru-baru ini.
Program yang disertai oleh para pimpinan ISMA dari negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan ini bertujuan untuk memantapkan ukhuwah di kalangan pimpinan,  memperkemaskan kefahaman dan halatuju, meningkatkan kecergasan dan daya tahan dari segi fizikal serta mengukuhkan nilai disiplin dan kerjasama melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
Aktiviti-aktiviti seperti latihan asas karate, larian 2.4 KM, bergulat, ujian kesihatan dan kecergasan, dan juga bahas ala parlimen turut diadakan sepanjang program ini berlangsung.
 Turut diadakan ialah ceramah isu politik semasa dan fikrah ISMA bagi menambahkan kefahaman peserta terhadap isu semasa politik di Malaysia dan juga memantapkan fikrah yang akan mereka bawa kepada masyarakat.

1 Nov 2012

Ucapan tahniah kepada Bendahari ISMA Sri Iskandar



YDP dan seluruh barisan Jawatankuasa ISMA Sri Iskandar mengucapkan tahniah kepada  bendahari ISMA Sri Iskandar merangkap Pengurus Aman Palestin Perak, Saudara Khairul Amin, isteri dan seluruh keluarga di atas kelahiran cahaya mata mereka pada 25 Okt 2012.

Syukur dipanjatkan kepada Allah yang telah memudahkan segala urusan kelahirannya. Seluruh warga ISMA mendoakan agar putera yang baru lahir ini akan membesar sebagai seorang anak yang soleh dan mujahid dakwah yang bakal meneruskan perjuangan memartabatkan Islam insya Allah. Tahniah sekali lagi diucapkan kepada Sdr Amin, isteri serta seluruh keluarga atas kehadiran cahaya mata yang menjadi amanah Allah ini. Semoga beroleh kebahagiaan di dunia dan akhirat.

“Barakallahu laka fil mauhub, wa syakarta al wahib, wa balagha asyuddahu, wa ruziqta birrahu.”(Semoga Allah memberkati kamu pada anak yang dikurniakanNya kepada kamu, semoga kamu mensyukuri Tuhan Yang Maha Pemberi, semoga anak itu akan mencapai umur kuat/matangnya dan semoga kamu akan diberi rezeki kebaikannya).