YARMOUK – Pengerusi
Majlis Ulama’ ISMA (MUIS), Ustaz Dr. Aznan Hasan menegaskan bahawa
matlamat kita adalah untuk menjadikan sistem ekonomi Malaysia sepenuhnya
mengikut Islam, bukan lagi sebagai alternatif.
“Kita mahu menjadikan sistem ekonomi
Malaysia seratus peratus mengikut syariat Islam, bukan lagi perbankan
Islam hanya sebagai alternatif, tetapi untuk ke arah itu kita kena
bergerak dengan bentuk dan cara yang betul,” tegasnya.
Ustaz Dr. Aznan berkata demikian semasa
membentangkan tajuk Cabaran Memartabatkan Ekonomi Berlandaskan Syariat
dalam Wacana Ummah baru-baru ini.
Wacana Ummah tersebut dianjurkan oleh
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Jordan khas buat mahasiswa Jordan dalam
usaha untuk memahami realiti semasa perkembangan ekonomi Islam di
Malaysia.
Program ini telah dirasmikan oleh Pengarah Education Malaysia Jordan (EMJ), Prof. Dr. Mohd Azidan Abdul Jabar.
Dalam ucapannya beliau amat mengalu-alukan program seperti ini demi membentuk graduan yang lebih terbuka dan berkualiti.
“Bagi pihak Education Malaysia Jordan,
saya amat mengalu-alukan kedatangan Dr. Aznan dan kita juga
mengalu-alukan sesi-sesi seumpama ini pada masa akan datang supaya
pemikiran dan minda para pelajar Malaysia di Jordan ini lebih terbuka
dan dapat menghasilkan graduan yang lebih berkualiti pada masa akan
datang.”
Wacana ini telah berlangsung di Dewan Tarbiyyah, Universiti Yarmouk dengan kehadiran melebihi 200 orang peserta.
Ustaz Dr. Aznan yang juga merupakan
Presiden Association of Shariah Advisors in Islamic Finance (ASAS) telah
menyeru mereka yang ingin menjadi pakar dalam bidang ekonomi Islam agar
menguatkan diri dengan ilmu usul fiqh.
No comments:
Post a Comment